Wednesday, 14 March 2018
Amalkan Baca Al-Mathurat Pagi & Petang, Ganjarannya Dalam Rumah Tangga Datang Tak Disangka!!
Doa merupakan senjata bagi umat Islam. Malah Al-Quran juga adalah sumber penawar baik daripada segi zahir mahupun batin. Justeru, sebagai suami isteri menjadi kewajipan suami untuk membimbing isteri dan keluarga mendekatkan diri dengan agama, selain menuntut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang sebagai senjata untuk miliki rumah tangga bahagia.
Suami isteri yang sedang berdepan dengan masalah elok menjadikan wirid dan doa Al-Mathurat ini sebagai amalan di waktu pagi dan petang. Bahkan banyak ganjaran untuk rumah tangga yang anda berdua boleh peroleh dengan mengamalkan Al-Mathurat. Pasti selepas anda sudah mengetahui ganjarannya, anda akan rasa sayang untuk meninggalkannya walaupun satu doa.
Kelebihan Mengamalkan Al-Mathurat
Tidak dihampiri syaitan.
Rumah dan keluarganya terselamat daripada perkara yang tidak diingini.
Allah mencukupkannya dengan apa yang sangat diperlukan dari segi urusan dunia dan akhirat.
Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
Selamat dari segala sesuatu.
Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
Diredhai Allah SWT.
Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
Terhindar daripada syirik.
Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.
Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.
Membacanya di waktu pagi akan dipelihara Allah SWT hingga ke petang.
Siapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
Mengamalkannya umpama mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dari sudut zikir dan berdoa, dan pelbagai lagi kelebihan.
Amalan Suami Isteri
Jika anda berada di sebelah suami yang sedang memandu, bacakanlah wirid dan doa harian ini. Biar suami di sebelah mendengar bacaan anda. Ikut tertibnya, jika perlu membaca tiga kali sehingga habis sebagaimana yang terkandung dalam buku Al Mathurat.
Ada bahagian wirid dan doa yang perlu diperhatikan dengan teliti terutamanya ketika membaca sebelah pagi atau petang. Ada beberapa bahagian ayat perlu diubah mengikut masa membacanya. (boleh rujuk buku Al Mathurat)
Sebaiknya, bacalah sampai doa terakhir dalam Al Mathurat. Kadangkala kerana ingin cepat, kita mengelak daripada membaca wirid dan doa ini sampai habis. Terjemahan doa ini sahaja membaca makna yang cukup besar dalam menyatukan hati-hati insan yang dekat dengan pengamalnya.
Andai anda sedang berselisih dengan suami atau isteri, bacalah doa akhir ini kerana ia mampu menyatukan hati, selain mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara pasangan malah anak-anak.
Agar hidup yang baharu dibina diberkati dan dilindungi, cuba ikhtiar dengan pendekatan Islam. Nescaya kehidupan sebagai suami dan isteri akan mendapat rahmat juga keberkatan daripada Allah SWT.
Doa Akhir
“Ya Allah, menjelanglah kini malam (ciptaan)-Mu, beredarlah sudah siang-Mu, inilah keluhan suara dan pinta para du‘at-Mu. Maka oleh itu ampunkanlah dosaku. Ya Allah, engkau mengetahui bahawa hati-hati ini… (bayangkan wajah rakan seperjuangan) telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah-Mu), bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia mendaulat dan menyokong syariat-Mu. Maka eratkanlah Ya Allah ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini dengan pengetahuan sebenar tentang-Mu.
Jika engkau mentakdirkan mati maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami (Nabi) Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”
* Ketika membaca doa ini, niatkanlah untuk suami/isteri dan jangan lupa menyebut namanya.
Pengertian Al-Mathurat
Al-Mathurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Ia disusun dan dihimpunkan oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasar dalil-dalil sahih. Rasulullah SAW adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperoleh daripada amalan doa dan wirid ini.Terdapat dua jenis yang boleh dibaca iaitu Sughra dan Kubra. Andainya anda diburu waktu, sudah memadai membaca jenis Sughra kerana surah pilihan dan doanya lebih ringkas.Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al-Mathurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui Ilahi, memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.Bagi seorang Muslim masanya tidak berlalu begitu saja. Di kala pagi dan petang, dia sentiasa bertasbih, istighfar, tahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal daripada Nabi SAW).Jika sesiapa mengamalkan zikir Al-Mathurat, anda akan merasakan perbezaannya dengan hari-hari yang tidak dimulakan dengan zikir Al-Mathurat. Begitulah kekuatan doa dan wirid dalam Al-Mathurat yang dianggap senjata orang mukmin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment