Sunday, 25 March 2018

KENTUT FARAJ, BATAL WUDUK KE TAK? INI PENJELASANNYA. SILA BACA??



Soalan:

Apakah hukum ibadah bagi seseorang yang mengalami masalah keluar angin daripada kemaluan terutama ketika sedang solat?


Jawapan:

Telah disepakati oleh ulama' bahawa batal wudhu' jika yang keluar dari kemaluan itu (sama ada depan atau belakang) adalah benda-benda yang biasa keluar iaitu tahi, air kencing, air wadi, air mazi dan kentut.


Adapun jika yang keluar ialah yang luar biasa (yakni jarang berlaku) seperti batu, darah atau sebagainya, para ulama' berbeza pandangan:


Pertama: menurut jumhur ulamak (iaitumazhab Syafi’ie, AbuHanifah dan Ahmad);batal wudhu'


Kedua: menurut mazhab Maliki; tidak batal wudhu'


Dinisbah kepada kemaluan hadapan, keluar angin darinya merupakan suatu yang luar biasa (jarang berlaku). Maka mengikut pandangan jumhur, ia tetap membatalkan wudhu'.


Bagi Imam Malik pula; tidaklah membatalkan wudhu' kerana bagi beliau; perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan tidak membatalkan wudhu'.


Merujuk masalah keluar angin daripada kemaluan, jika pandangan jumhur ulamak yang dijadikan panduan, maka wajiblah berhenti dari solat dan mengambil wudhu' semula dan kemudian mengulangi semula solat. Itu sekiranya masalah tersebut berlaku sekali-sekala kepada anda.


Adapun jika ia menjadi masalah berterusan kepada anda -yakni keluar angin itu tanpa menentu termasuk adakalanya waktu solat-, maka anda menghadapi keuzuran yang sama seperti wanita istihadhah (yakni wanita yang keluar darah penyakit dari kemaluannya tanpa henti) dan orang yang menghadapi masalah sulasul-baul (kencing tak putus).


Apa yang perlu anda lakukan ialah;

1) Hendaklah menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu


2) Apabila masuk waktu solat, ambil wudhu' sebagaimana biasa. Jika tengah mengambil wudhu' angin keluar dari kemaluan, jangan hiraukan dan teruskan wudhu' hingga selesai.


3) Setelah selesai wudhu' hendaklah segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.


4) Jika semasa solat itu dirasakan angin keluar dari kemaluan, tidak perlu berhenti solat. Solat terus seperti biasa.


5) Setiap kali hendak solat fardhu, hendaklah anda memperbaharui wudhu'. Tidak harus memakai wudhu' yang sama kecuali untuk mengerjakan ibadah-ibadah sunat sahaja (iaitu solat-solat sunat, bacaan al-Quran dan sebagainya).

Untuk ibadah wajib, hendaklah diulangi semula wudhu'.


Firman Allah (bermaksud); "Bertakwalah kepada Allah sehabis yang kamu mampu” (al-Quran). Maka, apabila anda telah melakukan ibadah mengikut yang termampu, tidak perlulah anda merasa syak atau was-was lagi. Begitu juga, tidak perlu anda mengqadha semula solat yang dilakukan kerana anda telah berusaha melakukan apa yang terdaya dilakukan.


Dalam kaedah fiqh ada disebutkan; “Orang dalam kepayahan harus baginya mengambil kemudahan”.


Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment